Ramai ibu bapa masa kini yang risau melihat
sikap dan tingkah laku anak mereka yang adakalanya diluar kawalan dan
jauh dari apa yang diharapkan.
Sebagai ibu bapa adakala kita tertanya-tanya, dimanakah silapnya?
Untuk itu, kami ingin bawakan pandangan dari Ustaz Mohammad Asyraff Ayob tentang ini.
APA YANG LOMPONG DALAM SISTEM SEKOLAH KITA?
Bulan lepas, saya bersama isteri berpeluang melawat Warga Prihatin
(terima kasih kepada sahabat saya Tuan Ahmad Fazil dan Tuan Saiful Nang
yang menjadi jambatan perkenalan kami), dan amat teruja dengan fokus
pendidikan yang mereka tekankan kepada anak-anak disitu. Bahkan saya
berharap, kalaulah sistem ini dijadikan silibus sekolah, sayalah orang
pertama yang akan menghantar anak ke sana.
Ketika pulang isteri bertanya, ‘bang, apa kelebihan sistem mereka
berbanding sistem MRSM yang mama masuk atau sistem sekolah agama yang
abang belajar?’
‘Mama, sistem sekolah kita bagus tapi masih ada ‘lack’nya. Dan
lompong itu besar. Sebab tulah ramai ibubapa masih merungut ‘anak pandai
tapi perangai hancur, atau anak hafal Quran tahu hadith tapi sikap tak
macam orang belajar agama’.
‘So, mana lompongnya bang?’ Isteri terus bertanya.
‘Abang lihat begini. Its all about fokus mama. Apa yg kita fokuskan,
itulah hasil yang keluar. Di sekolah kita, yang difokuskan adalah
silibus. Akademik. Deretan A dalam peperiksaan. Yang lain nombor 2. So
yang keluar adalah orang yang pandai aqliyah (fikiran) tapi gersang
akhlak & sikap’.
Sistem kita terlalu mengagungkan deretan A. Itu problemnya. That’s
why ada ibubapa risau jika anak tak dapat A tapi kurang risau bila
anaknya berkarakter sombong, sukakan hiburan & kurang bantu orang
lain. Ini kerana, pendidikan karakter/akhlak dinombor-duakan. Saya masih
teringat di New Zealand, yang ditekankan di sekolah rendah adalah
pendidikan karakter. Guru-guru tidak sibuk tentang ‘nombor satu’ atau A,
tapi mereka menggalakkan anak-anak untuk explore diri mereka dahulu.
Kemudian isteri bertanya lagi, ‘tapi masa mama di MRSM dulu, ada je
fokus karakter bang. Kami selalu ditekankan tentang disiplin, menepati
masa, kepimpinan…’
‘Benar, ia ada mama, tapi kan still sekunder bukan primer? Di warga
Prihatin, itu yang menjadi primer, yang lain sekunder. Lagi satu mama
perlu faham, bila kita sebut pendidikan karakter, ia ada 2 lapis :
PERTAMA seperti yang mama sebut : disiplin, kepimpinan, visioner, tanggungjawab, kerjasama, kreativiti dll.
KEDUA, dan ini yang paling kurang ditekankan :
silibus karakter rohani seperti tawaduk, rendah hati, kasih-sayang,
tidak bersikap ananiyah, jujur, i’tsar, ikhlas, tawakkal, syukur, sabar
serta banyak lagi.
Lapisan kedua inilah yang menjadi ‘core’ manusia. Yakinlah, jika
manusia pintar & hebat kepimpinan sekalipun, ia tak berguna jika ia
sombong & tidak jujur.’ Saya terangkan panjang-lebar.
Isteri mengangguk setuju.
Saya sedang mencari sekolah bersilibuskan ‘akhlak & karakter’
kerana sedar, antara tujuan utama Rasul diturunkan bukan untuk
memandaikan sangat manusia, tetapi memandaikan ‘akhlak & karakter’
mereka dahulu. Kata Nabi, Aku diutuskan untuk perbaiki dan sempurnakan
akhlak manusia.
Itu fokus Nabi sebab Baginda tahu, bila ia elok, semua perkara elok.
Jika ia rosak, pandai macammana sekalipun, sehebat manapun, anda tetap
‘zero’ di mata Tuhan.
Sungguh, saya mengaku disini yang saya tidak kisah sangat anak tak
dapat A kerana ia bukan bermakna anak tidak pandai. Silibus sekarang
hanya measure sedikit sahaja keupayaan anak. Ia bukan segalanya.
Yang segalanya adalah karakter dan akhlak mereka. Jika ia menjadi
manusia yang kenal Tuhan, baik silaturahim sesama manusia serta mahu
tingkatkan potensi dirinya, itulah bagi saya, maksud ‘A’ sebenarnya.
Menjadi manusia yang dimaksudkan nabi : ‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.’
Saya doakan anak-anak kita menjadi manusia yang cemerlang akalnya & gemilang akhlaknya, Allahumma Amiiiin.
Ikhlas,
Ustaz Asraff Ayobb
Ps : Jika anda mencari silibus terbaik untuk akhlak & karakter,
jangan risau ia dah lama wujud. Semua teknik & S.O.Pnya Tuhan
terangkan satu-persatu dalam Al-Quran, siap datangkan sekali tuan guru –
Rasulullah s.a.w untuk tunjukkan contohnya.
Pps: Yang perlu ditanya sekarang adalah, apa khabar anda sekeluarga
dengan AlQuran? Sudahkah ia menjadi paksi kehidupan? Sudahkah karakter
Rasul anda kenal dan hayati?
Credit :
Ustaz Mohammad Asyraff Ayob, dengan izin